Isnin, November 28, 2011

CERITA MALAYSIA KEMPUNAN OLIMPIK





Ong Kim Swee kata, "saya tak tahu nak cakap apa".

Tak apa, aku tahu nak cakap apa.

Hal Malaysia kalah kepada Bahrain bukanlah luar biasa. Memang adat pasukan ranking ke-27 Asia kena tapau dengan pasukan ranking ke-13 Asia. 

Yang luar biasa sikit bila Malaysia di depan dengan 2 gol, Bahrain sedang bermain 10 orang dan masa hanya tinggal lagi 10 minit.

Tapi bagi siapa yang arif bagaimana bola sepak Malaysia sentiasa memainkan perasaan kita semua pasti tahu itu pun boleh dikira sebagai tidak luar biasa langsung. Siapa yang tak faham boleh baca buku Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia untuk bagi faham.

Di sini aku tak perlu cerita pasal kebangangan Malaysia dalam tempoh 10 minit terakhir malam tadi. Tapi aku akan cerita tentang reaksi orang ramai selepas kekalahan yang sebenarnya tidaklah luar biasa.

Aku yakin, kalau arwah Abah aku masih hidup dia juga akan berambus awal dari stadium atau tutup TV malam tadi. Dan Abah aku melayan bola Malaysia ini sejak zaman Isa Bakar membawa ke era Zainal Abidin Hassan. Kalau ada budak-budak Ultra nak cakap kat Abah aku yang dia tak patriotik dan tak Harimau Malaya, aku yakin Abah aku akan salib budak Ultra tadi di puncak tiang lampu limpah Stadium Perak.

Ultra. Kepala bana apa Ultra ini?

Menatang Ultra ini muncul sejak beberapa tahun kebelakangan ini hampir selari dengan apa yang dikatakan kebangkitan semula bola sepak Malaysia. Bermula dari kecil-kecilan ianya kini berkembang luas dengan ahli yang boleh tahan ramai sama seperti mana-mana pergerakan MLM. Dan seperti lazimnya pergerakan MLM, ahli Ultra ini kerap berpakaian hampir seragam dan berhimpun di stadium seperti ahli MLM suka berhimpun di ballroom hotel bukan 5 bintang. Kalau tidak berhimpun di stadium, ahli Ultra mengikut tradisi ahli MLM dengan cuba bermesyuarat di kedai-kedai mamak. Bezanya di sini ahli MLM suka membawa fail serta borang keahlian ke kedai mamak sementara ahli Ultra pula lebih suka membawa mafla dan flare.

Adakah aku ada mempunyai rasa tidak puas hati kepada Ultra ini?

Tidak.

Bagi aku budaya Ultra ini walaupun agak asing pada mulanya tapi boleh kita terima sebagai satu elemen pemodenan bola sepak Malaysia. Rata-rata yang terikut dengan Ultra ini juga pada pemerhatian kasar aku adalah anak-anak muda. Awalnya kurang diterima di stadium kerana perangai tidak reti duduk diam mereka, perlahan-lahan kehadiran Ultra kini diterima oleh kelompok pengunjung stadium lain yang lebih suka duduk diam tetapi bising ketika (I) Malaysia menjaringkan gol, (II) pemain Malaysia dikasari dan (III) pemain Malaysia berperangai kepala bana.

Tapi malam tadi, bila Malaysia bermain bangang pada 10 minit terakhir hingga kalah dan ramai yang berambus awal dari stadium serta ramai pula yang sudah mula memaki hamun di laman sosial seperti Facebook atau Twitter, ada pula kelompok ahli Ultra yang tidak berpuas hati. Tidak berpuas hati kerana penyokong tradisional ini kurang patriotik dan hanya tahu bersorak ketika menang tapi memaki hamun bila Malaysia kalah.

Dan bagi aku ini adalah sangat bangang sebenarnya. Kaedah memberi sokongan adalah tertakluk kepada pilihan masing-masing. Kalau ahli Ultra masih mahu membutakan mata dan terus bertepuk sorak ketika Malaysia kalah itu hak Ultra. Dan kalau orang lain, 'the silent majority' aku katakan, mahu mengkepala banakan para pemain serta mengutuk buruk permainan Malaysia itu juga hak mereka.

Di Sokernet, polisi kami terang lagi bersuluh. Tidak ada berlapik-lapik dalam hal bola sepak Malaysia. Kalau menang agak sukar untuk kami puji, kalau kalah bersiaplah menerima habuannya.

Tak salah nak Ultra bagai, tapi janganlah fikir diri sendiri lagi patriotik sebab berdiri lebih 90 minit permainan berbanding penyokong lain yang berambus keluar stadium sebaik Bahrain menjaringkan gol ketiga.

Tentang cerita Malaysia kempunan ke Olimpik; Ah! Malas dah aku nak cerita. Baca sajalah buku Cerita Malaysia Tsidak Ke Piala Dunia yang penat aku tulis tu, dekat situ nanti dah boleh faham. Dan aku harap juga budak-budak Ultra boleh baca buku ni supaya terbuka sikit ilmu bola sepak itu jangan sekadar tahu menyanyi di stadium. Barulah nanti boleh faham hati sanubari penyokong bola lain yang jauh di sudut hati memang sayangkan Harimau Malaya (atau Harimau Muda) tapi tidak teragak-agak untuk memberi kutukan yang setimpal di atas permainan bangang yang ditunjukkan.

Akhir kata, aku akhiri dengan ungkapan terbaik oleh Ong Kim Swee di suratkhabar hari ini.

"Bagi saya pemain sudah memberikan yang terbaik dan saya mahu mereka melupakan bola sepak seketika."

Sikap mudah berpuas hati dan mudah lupa ini yang Tun Dr Mahathir tak berapa berkenan sebenarnya.