Khamis, Disember 08, 2011

Hati Borhan

***
Borhan seorang peminat sukan bola sepak nombor satu. Dia dah layan bola ni sejak zaman Liga Semi-Pro. Handal tak handal Borhan ni, semua pemain bola sepak Liga Semi-Pro dia kenal nama. Semua negeri. Termasuklah pasukan Polis dan Tentera yang masa tu memang sayur habis. Kalau lawan Pahang, semua jadi budak pengakap.

Zaman tu dia memang kuat pergi stadium. Kalau Pahang main di tempat sendiri, Borhan mesti tengok walaupun ada siaran langsung dalam TV. Member-member semua pergi stadium, apa barang tengok kat rumah? Makcik makcik je tengok kat rumah sambil lipat kain. Itu pun ada anak yang tak reti bahasa, orang nak tengok bola dia boleh alih siaran nak tengok Opah.

Bila masuk era Liga M, dia dah kurang dan dah tak berapa. Zainal Abidin Hassan pun dah main bek. Dunhill dah berenti supply duit rokok. Main dah banyak melompat. Khairul Azman merajuk pindah Sabah. Ada satu dua tahun tu pula tak ada pemain import. Astro pun dah sampai bawa siaran langsung bola orang putih. Dulu cuma dapat tengok siaran highlight, tak pun Road to Wembley. Sekarang semua jenis bola dapat tengok.

Masuk era Liga Super, Borhan ingat dah berubah. Ingat main tak melompat sangat. Dia pun merempit pergi Stadium Bukit Jalil tengok perlawanan pembukaan Liga Super, Pahang lawan Perak. Main macam beruk. Terlompat lompat. Orang ni tanduk, orang ni balas tanduk. Orang ni sepak jauh jauh, orang ni pun lagi jauh sepaknya. Bila tengok dia dah jadi berdosa. Sebab membazir. Sebab memaki-hamun dan mencarut.

Sejak itu Borhan dah tak percaya dengan bola Malaysia ni. Apa jenis bola Malaysia pun dah tak boleh pakai katanya. Main bola dah tak gaya main bola. Pergi stadium pun tak payahlah katanya.

Sekarang Borhan tengok bola di TV. Bayar pun bayar la. Kali ni tengok Real Madrid main, pehhh! Berbisa. Tengok Arsenal main, pehhh! Dia punya kontrol. Tengok Espanyol main pun... peh juga. Cuma ada sekali tu tertengok Pahang lawan Perlis, pehhh!!! Macam haram.

***

Baru baru ini Malaysia dapat main Piala Asia. Itu pun nasib nasib kes jadi tuan rumah punya pasal. Kalau tidak jangan harap la. Borhan intai intai juga skuad Malaysia ni. Ya lah serba serbi baru sekarang. Jersi dah baru dah cantik. Nama pun dah Harimau Malaya. Borhan tertanya-tanya. Adakah Malaysia kali ini benar-benar berdaya saing untuk kempen Piala Asia. Ya lah Piala Asia ni bukan runcit runcit punya piala. Mesti diorang berlatih sungguh-sungguh. Mana tau kot kot Juara. Boleh juga tengok Malaysia main Confederation Cup dekat dekat nak World Cup nanti. Fuh! Lawan Brazil, lawan juara juara benua lain.

Perlawanan pertama, Malaysia lawan China. Borhan tak pergi stadium. Tengok kat rumah dulu. Borhan bajet Malaysia boleh seri. Sekali tengok... peh! Anak dia yang darjah 1 tu tak pasal pasal kena pelempang. Kes suruh cari sepit kuku tak jumpa je sebenarnya. Marah betul Borhan. Entah apa apa main. Budak rambut panjang yang jaga gol tu keeper bola ke kerja pejabat pos?

Tapi Borhan simpan juga harapan. Boleh lagi ni, boleh lagi. Ada can lagi. Perlawanan kedua, Malaysia lawan Uzbekistan. Borhan teringat star star lama Uzbek. Abduraimov Azamat sama Igor Shkvyrin tu dulu main Pahang terer terer macam tu je. Benda sangat la Uzbekistan ni. Boleh ni buat kejutan, boleh ni.

Tengok tengok, awal awal lagi dah kena sebijik.

"Bodoh betul keeper..." kata Borhan dalam hati.

"Boleh lagi ni, boleh lagi kejar..." kata pula hati Borhan yang paling dalam sekali.

Peh kesudahannya kena lagi. Lagi teruk, 5-0! Semua pemain Malaysia kena maki dengan Borhan. Tapi pemain Malaysia dalam TV tu buat muka rilek je. Ada yang siap kunyah singam.

"Yang makan singam tu kalau lalu sebelah aku tak payah tanya apahal la kalau kena paip kepala!" Kata hati muda Borhan.

Malaysia dah takde can. Pergi mati la team bola Malaysia. Borhan betul punya marah dan meluat. Bila sampai hari perlawanan ketiga Malaysia lawan Iran, Borhan buat tak tau je. Dia duduk depan kompiter je main Solitaire.

Sedang Borhan ralit layan Solitaire, sekali ada bunyi sorak kuat sikit dari kaca TV. Shukor Adan melakukan satu try bahaya! Dan dari meja komputer, Borhan intai juga. Intai ikut celah-celah bunga dalam pasu atas rak telefon.

"Peh... sikit je lagi," kata Borhan dalam hati yang agak dalam sambil terjenguk jenguk ke TV.

Borhan, Borhan... Hati kau terlalu lembut dengan team bola Malaysia.



(Arkib Julai 2007)

1 ulasan:

anis aniesa berkata...

bola je keje lu kan ? +_+